Kitab
Maraqi al-‘Ubudiyyah Syarh ‘ala Bidayah al-Hidayah (مراقي العبودية شرح على بداية الهداية ) merupakan sebuah karya Abu Abdul Mu’thi
Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Bantani al-Jawi (1314H), seorang tokoh
ulama terkenal dari Nusantara yang memenuhi hidupnya dengan aktiviti pengajaran
dan penulisan ilmu agama Islam di kota Makkah al-Mukarramah. Kitab Maraqi
al-‘Ubudiyyah ini disusun oleh Syaikh Nawawi al-Jawi sebagai huraian
(syarah) bagi kitab Bidayah al-Hidayah karya Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad
ibn Muhammad al-Ghazali al-Thusi (501H). Kitab ini sangat popular di Nusantara,
khusus sebagai teks pengajian fiqh dan tasawwuf di pondok-pondok pasantren.
Kitab
ini selesai ditulis pada 13 Zulkaedah 1289H/1872M. Cetakan pertama kitab ini telah
diterbitkan dan dicetak di Bulaq pada tahun 1293 H/1875 M. Kitab ini,
kemudiannya dicetak ulang di Bulaq pada tahun 1309 H/1891 M, di Mesir pada
tahun 1298 H/1880 M dan 1304 H/1886 M, di al-Maimanah pada tahun 1307
H/1889 M, 1309 H/1891 M dan 1327 H/1909 M serta Percetakan al-Azhariyah
al-Masriyah, Mesir pada tahun 1308H/1890M. Jika dinilai dari jumlah
edisinya yang berbeza-beza ia masih dapat ditemui lagi dalam pasaran hingga
sekarang. Kitab Maraqi al-‘Ubudiyyah yang menjadi
tatapan saya ketika menyiapkan catatan ringkas ini adalah edisi cetakan ulang
yang diterbitkan oleh Mathba’ah Ben Halabi, Patani, Thailand. Berdasarkan edisi
ini ketebalan keseluruhannya merangkumi 103 halaman.
Syaikh Nawawi menyatakan dalam muqaddimah
kitabnya “ Maka inilah syarh kitab Bidayah al-Hidayah (permulaan petunjuk) yang
saya menamakannya sebagai “ Maraqil Ubudiyyah ” dengan harapan, semoga dengannya akan mendapatkan keberkatan syaikh
pengarang (Imam Ghazali) dan doa penuntut ilmu yang bertanya. Kandungan kitab
ini bukanlah idea dan pandanganku sendiri, melainkan himpunan beberapa perkataan
para ulama’ yang mulia, berdasarkan kefahamanku - yang dikurniakan Allah –
terhadap peninggalan para ulama terdahulu ”.[1]
Sebagaimana
kitab asalnya Bidayah al-Hidayah, isi kandungan kitab ini dibahagikan kepada
tiga bahagian utama, iaitu;
1) Bahagian pertama membincangkan mengenai amalan-amalan
ketaatan yang meliputi beberapa panduan adab iaitu adab bangkit daripada tidur,
adab masuk tandas, adab berwuduk, adab mandi, adab bertayammum, adab keluar ke
masjid, adab masuk masjid, adab selepas terbit matahari hingga gelincirnya,
adab persediaan bagi solat fardu, adab tidur, adab solat, adab imam dan makmum,
adab Jumaat dan adab puasa[2].
2)
Bahagian kedua pula membincangkan mengenai panduan
menghindari diri dari amalan-amalan maksiat zahir dan batin. Panduan memelihara
daripada maksiat zahir, iaitu memelihara mata (pandangan), telinga
(pendengaran), lisan (percakapan), perut (pemakanan), kemaluan, tangan dan kaki.
Manakala maksiat batin (hati) pula seperti sifat ujub, takbur dan bangga diri.
3)
Bagi melengkapi kitab ini, Syaikh Nawawi al-Jawi meneruskan
huraian beliau mengenai “ Adab persahabatan dan pergaulan bersama al-Khaliq
(Allah yang Maha Pencipta) dan adab persahabatan dan pergaulan sesama makhluk”,
seperti adab sesama muslim, adab dengan guru dan adab dengan ibu bapa.
No comments:
Post a Comment